Wednesday, 29 June 2016

KAD RAYA BESAR DARI PUTRAJAYA

BY Paparazzi.R No comments


Hari ini 25 puasa. Setakat semalam saya baru menerima tujuh kad raya, termasuk satu yang bersaiz super besar, dari Putrajaya. Memang ini satu rekod – bukan kad besar itu, tetapi hanya tujuh kad pada minggu akhir al-Mubarak.

Dulu-dulu masuk minggu kedua Ramadan, kad ucap selamat Aidilfitri sudah bersusun di meja. Menjadi satu keseronokan membuka sampul surat, melihat dan membaca kata-kata dan tandatangan pada kad yang banyak itu.

Sejak dua tiga tahun kebelakangan, kad semakin merosot. Tahun lalu saya terima tidak sampai 50. Tahun ini tidak sampai 10. Tetapi saya tidak berkecil hati, sebab bos-bos sepejabat pun senada: “Tahun ni tak dapat kad raya.”

Secara peribadi ada beberapa sebab saya tidak dapat kad raya. Pertama, saya sudah tua, sudah tidak setampan Aaron Aziz, maka tidak ada orang ingat saya. Sekali lagi, tidak berkecil hati pun!

Kedua, kawan-kawan rapat yang setiap tahun menghantar kad pun sudah tidak ada. Tahun lalu saya kehilangan lebih 10 orang sahabat – semoga mereka ditempatkan bersama orang-orang beriman, amin!

Ketiga, semua jimat berbelanja. Bayangkan sekeping kad paling koman RM1, tambah setem 60 sen jadi RM1.60. Kalau hantar kepada sepuluh orang harganya RM16, cukup untuk ikan dan sayur buat sekeluarga berbuka.

Almaklumlah, dalam keadaan serba sempit – barang naik, duit jatuh – orang pentingkan perut lebih dari kad raya. Ini hakikat.

Keempat, paling penting, berkad-kad kini sudah dianggap kuno. Sekarang era ICT, serba-serbi di hujung jari. Tidak perlu beratur di pejabat pos untuk membeli setem, tidak perlu lagi jilat setem. Tekan sahaja gajet boleh hantar ucapan Selamat Hari Raya.

Kini urusan untuk beraneka ucapan – Raya, Deepavali, Gong Xi Fa Cai, hari jadi, ulang tahun perkahwinan, masuk rumah baharu, hatta takziah kematian – semua di dalam saku anda. Seluk saku, keluarkan HP tercanggih, tekan kekunci, dan hantar.

Sekali tekan hanya mengambil masa beberapa saat untuk tiba ke destinasi, boleh hantar serentak untuk beratus penerima. Tidak sahaja kata-kata, boleh disertakan dengan pelbagai lakaran dan gambar.

Malah, boleh diiringi muzik dan video dengan latar belakang beraneka suasana dan situasi. Pendek kata dulu-dulu hanya kad mati, kini tayangan hidup boleh dihantar dan diterima untuk mengucapkan salam Aidilfitri.

Apa yang terpukul hebat oleh ucapan online – sms, Facebook, WhatsApps – ialah penjual dan pencetak kad ucapan. Seorang teman saya di kompleks peniaga Mara di Jalan Tunku Abdul Rahman, mengeluh tahun ini tidak ada tempahan kad raya. Senang cakap, orang sekarang tidak main kad-kad.

Maka teringat saya raya zaman dulu-dulu. Waktu itu saya muda remaja, penuh semangat jiwang. Setiap kali posmen datang menghantar kad, hati gembira bukan kepalang, melompat hingga kepala terantuk dinding.

Kalau yang tiba itu kad daripada orang istimewa, terketar-ketar tangan membuka sampul. Tersenyum lebar melihat kad, ada ucapan yang ditulis tangan. Paling bahagia pada akhir ucapan itu ada lakaran simbol hati @ love yang ditusuk anak panah. Fuhhh, kad dicium berulang kali, silap-silap boleh batal puasa!

Menjadi kebiasaan – dan kemegahan – waktu itu sekiranya menerima banyak kad, akan digantung di atas pintu atau pada langsir tingkap untuk menceriakan lagi suasana raya.

Kalau ada kiriman daripada orang penting, seperti daripada Tok Penghulu lebih-lebih lagi daripada wakil rakyat, kad itu akan diletakkan pada tempat paling istimewa dan mudah dilihat. Memang satu penghormatan menerima kad daripada YB, boleh beritahu kepada setiap yang berkunjung ke rumah.

Sekadar bertanya, agaknya ada lagikah yang main gantung-gantung kad sekarang? Kalau ada itu satu kelebihan, nostalgia zaman silam. Teruskan budaya itu.
nak kurus? anda wajib cuba!
Sekarang ucapan dihantar dan diterima menerusi gajet, maka lenguh tangan dan jari untuk membalasnya. Habis separuh malam, boleh terlepas Lailatulqadar, gara-gara berbalas ucapan menerusi maya.

Apa pun pada hemat saya ada baiknya ucapan menerusi maya. Selain murah, mudah dan pantas, sekurang-kurangnya kita tahu dan pasti orang yang menghantar ucapan itu.

Arakian ucapan menerusi kad dan pos yang kita terima itu tidak dapat dipastikan siapa sebenar si penghantar. Mungkin urusan penghantaran itu dibuat oleh orang lain – pembatu peribadi, setiausaha, mungkin juga peon.

Maka saya tidak pasti apakah kad besar dari Putrajaya itu betul-betul secara peribadi daripada pengirimnya? Apa pun saya gembira juga sebab termasuk dalam senarai panjang – mungkin beribu-ribu – orang-orang yang diingati.

Untuk semua saya ucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.

0 comments:

Post a Comment