Monday, 6 June 2016

3,000 NASI DAGANG PERCUMA UNTUK SAMBUT RAMADHAN

BY Paparazzi.R No comments


KUALA TERENGGANU 6 Jun - Menjelang ketibaan Ramadan, Warung Nasi Dagang Kak Ros yang popular di Kampung Atas Tol di sini meneruskan tradisi bersedekah dengan memberi makan percuma kepada lebih 3,000 orang, semalam.

Seawal pukul 6.30 pagi lagi, orang ramai sudah mula beratur bagi menikmati juadah dari warung yang dikatakan antara yang tersohor di daerah ini.

Pengusahanya, Rohana Yusoff, 43, berkata, amalan yang dimulakan sejak lima tahun lalu itu juga bagi menghargai pelanggan di samping menzahirkan rasa terima kasih di atas sokongan berterusan.

“Tahun lalu, hasrat saya tidak kesampaian sebab saya sakit. Alhamdulillah, hari ini semuanya berjalan lancar, saya dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik untuk menjamu pelanggan.

“Selain nasi dagang, kita turut menyediakan nasi lemak serta laksa buat pelanggan yang datang hari ini dan semua makanan habis kira-kira pukul 10.30 pagi,” katanya ketika ditemui di warungnya di sini.

Perniagaan yang diusahakan Rohana sejak 10 tahun lalu itu turut dibantu suaminya, Tuan Zainuddin Tuan Ngah, 52, dan diuruskan anak sulungnya, Tuan Saidatul Jamilah, 24.
Keistimewaan juadah sarapan tradisional Terengganu itu yang menjadi sebutan ramai telah mendorong pengendali saluran dokumentari antarabangsa, National Geographic untuk membuat rakaman mengenainya pada April lalu sehingga mulai digelar Nasi Dagang Nat Geo.

“Bagi sajian percuma ini, kami masak 30 gantang beras untuk nasi dagang, lima gantang untuk nasi lemak, 80 kilogram laksa dan 200 kilogram ikan tongkol,” ujarnya.

Kata beliau, sasaran asal pelanggan adalah sekitar 3,000 orang namun sambutan yang diperoleh semalam menyebabkan sajian ditambah lagi untuk 500 orang.

“Sambutan kali ini yang teramai berbanding jamuan tahun-tahun sebelumnya, berkemungkinan kerana notis mengenai jamuan itu sudah kita letakkan di laman Facebook dan dikongsi oleh pelanggan,” ujarnya.


0 comments:

Post a Comment